Sunday, November 15, 2009

Apabila kekuatan sendiri dilupakan


Apabila isu sekolah satu aliran dibangkitkan, segelintir ultra kiasu mencadangkan supaya bahasa Inggeris dijadikan sebagai pengantar, bukan bahasa Melayu. Ternyata mereka mengenepikan sama sekali dan memandang rendah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bila bahasa itu dipandang rendah, tidakkah pandangan terhadap bangsa bahasa tersebut turut terpalit sama? Kiblat mereka adalah barat, bukan timur.

Justeru, tidak hairan mereka amat bangga dengan panggilan nama seperti Joe, Michael, Nicol, Amy, Martin dan lain-lain. Kadang kala naik mual mendengarnya. Megah dikaitkan dengan Kristian dan barat, namun tidak mahu langsung dikaitkan dengan Islam dan Melayu.

Tidakkah timur itu lebih dekat dengan kita berbanding barat? Ada yang sanggup menukar kad pengenalan baru semata-mata taksub dengan nama barat. Kenapa bila tiba nama-nama seperti Muhammad, Mahmud, Aziz, Ridhuan dan nama-nama Islam lain tidak dipandang tinggi, malah dilihat dengan nada penuh kebencian? Hina sangatkah nama Melayu dan Islam? Penggunaan nama-nama Islam dianggap tidak ada standard? Tidakkah nama-nama timur ini lebih berwajah 1Malaysia? Saya tidak mahu untuk membuka tembelang yang lain. Biarlah saya simpan buat sementara waktu ini.

Bukanlah niat saya untuk menanamkan api kebencian antara kaum. Tetapi saya terpaksa berterus-terang bagi menunjukkan segelintir mereka ini yang tidak pernah bersyukur. Mereka lebih rela diasimilasi dan diakulturasikan dengan barat berbanding Melayu dan Islam. Apa jua perkara yang berkaitan asimilasi dan akulturasi dengan Melayu Islam akan dipandang rendah dan langsung tidak akan diamalkan, manakala cara hidup barat diterima bulat-bulat. Misalnya, cara hidup Melayu seperti berpakaian Melayu, bersongkok dan sebagainya. Pernahkah kita lihat orang bukan Melayu sekurang-kurangnya mengakulturasikan dengan cara sedemikian? Kalau adapun boleh dibilang dengan jari.

Mengasimilasikan

Dalam konteks 1Malaysia, adalah lebih wajar kita mengasimilasikan atau mengakulturasikan diri dengan cara hidup Melayu Islam, kerana ia lebih membawa manfaat kepada masa depan negara.

Sebagai Cina Muslim, bangsa saya memang tidak mahu dikaitkan dengan Melayu langsung terutama dari segi cara hidup. Kalau adanya yang berjinak-jinak dengan Melayu hanyalah untuk dipergunakan dan diperalatkan. Amat sedikit sekali orang Melayu yang bekerja di syarikat-syarikat bukan Melayu. Syarat-syarat seperti keupayaan bahasa Mandarin dijadikan alasan untuk menolak pekerja Melayu. Berbanding dengan syarikat-syarikat Melayu yang mengambil pekerja-pekerja bukan Melayu, atas alasan bukan Melayu lebih rajin daripada Melayu.

Bahkan, kadangkala bukan Melayu juga dilantik ke jawatan yang lebih tinggi. Siapakah yang lebih sanggup memberi dan menerima sebenarnya dalam hal ini?

Kalau adapun orang Melayu (termasuk Indonesia) diambil bekerja hanya dipergunakan untuk melariskan jualan makanan dan perkhidmatan. Melayu diperalatkan. Nama-nama berbunyi Melayu akan digunakan untuk melariskan jualan seperti jenama makanan sebagai penanda 'halal'.

Sedangkan hak-hak asas mereka tidak dipenuhi. Ini jelas apabila terdapat pekerja-pekerja Melayu Islam yang datang mengadu kepada saya kerana dihalang untuk solat Jumaat dan solat fardu. Saya boleh senaraikan satu per satu syarikat tersebut.

Solat dikatakan membuang masa dan mengurangkan kualiti dan produktiviti. Orang Melayu tetap reda sebab itulah periuk nasi mereka. Sedangkan kita sedia maklum, semakin takut seseorang itu dengan Allah, semakin kuat dia bekerja untuk manusia, sama ada majikannya itu Islam atau tidak. Sifat takutkan Allah akan menjadikan dia berhati-hati melakukan pekerjaan. Saya tidak nafikan ada orang yang kuat solat tetapi malas dan culas.

Apakah wujud perancangan untuk memisahkan orang Melayu dengan Tuhannya agar mereka menjadi cair? Apabila ikatan mereka dengan Allah telah cair, maka lunturlah semangat jihad mereka, maka mudahkan untuk mensekularkan dan menguasai mereka. Saya tidak maksudkan jihad itu dengan berperang, tetapi cukup sekadar jihad itu menuntut perubahan untuk menjadikan kita lebih baik dan dekat dengan Maha Pencipta.

Kadangkala saya tidak menyalahkan mereka. Mereka mencari dan mengambil kesempatan. Kita sahaja yang leka dan syok sendiri. Kita tidak menghargai apa yang kita ada. Kita rela korbankan segala yang ada asalkan negara dapat bergerak maju, walaupun yang dikorbankan itu adalah maruah agama dan bangsa. Misalnya kedudukan bahasa dan dasar pendidikan.

Kenapa kita tidak kaji kekuatan yang ada pada kita sebelum mengkaji kekuatan orang lain? Saya amat pelik, kadang-kadang kita begitu beria-ia mengkaji orang lain sehingga terlupa kepada diri sendiri. Ini menyebabkan kekuatan sendiri terabai disebabkan oleh terlalu taksub terhadap orang lain.

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi, pelajar-pelajar diwajibkan belajar dan memahami pelbagai teori yang datang daripada barat (terutamanya) dan timur daripada tokoh-tokoh tertentu.

Lupa

Teori-teori ini bukan sahaja disuruh hafal, malahan mereka yang berjaya menerangkan lebih lanjut itulah pelajar yang terbaik dan diberi markah tinggi. Contoh kecil, teori strategi dan peperangan Tsun Tzu.

Pelajar-pelajar dipaksa menghadam teori ini luar dan dalam, kulit ke kulit, sehingga kadangkala terlupa tanggungjawab terhadap al-Quran dan sunah. Strategi Tsun Tzu tidak hanya diaplikasikan dalam peperangan tetapi juga dalam perniagaan. Paling saya hairan, kita lupa dalam agama kita ada pakar dan pemikiran strategi perang yang cukup hebat seperti Nabi Muhammad SAW, Khalid Ibn Walid, Omar al-Khattab, Salahuddin al-Ayubi dan sebagainya. Tokoh-tokoh amat jarang dibincang dan ketengahkan. Apatah lagi untuk dihafal teori-teorinya. Apakah kurangnya tokoh-tokoh ini berbanding dengan Tsun Tzu, Kautilya (India), Clausewitz, Duhe dan sebagainya? Saya tidak menolak tokoh-tokoh ini, tetapi biarlah diseimbangkan dengan tokoh kita yang tidak kurang hebatnya.

Ya, Nabi Muhammad SAW pun tidak pernah masuk universiti, tetapi baginda adalah rasul pilihan Allah, makamnya amat tinggi. Oleh itu tidak hairan Michael Hart meletakkan Rasulullah SAW sebagai manusia agung maha hebat daripada 100 orang terhebat dunia meninggalkan Nabi Isa, Nabi Musa, Buddha, Konfucius, Aristotle, Tsun Tzu dan ramai lagi tokoh-tokoh hebat. Malangnya tidak ramai yang mengkaji.

Hari ini sudah terbalik, barat amat berminat mengkaji peribadi orang timur, tetapi orang timur sibuk mengkaji barat sehingga terabai kehebatan tokoh sendiri. Justeru, saya tidak hairan bila orang bukan Islam tidak mahu diasimilasikan atau diakulturasikan sebab kita tidak hormat tokoh kita, bangsa dan agama sendiri.

Saya tidak percaya kita boleh bangun dengan acuan orang lain. Sejarah menunjukkan semua bangsa bangkit dengan kekuatan dan acuan sendiri.

Baru-baru ini saya menghadiri satu mesyuarat penting kementerian. Kebetulan dalam mesyuarat tersebut ada seorang usahawan Amerika boleh berbahasa Melayu secara pelat. Hanya kerana seorang 'mat salih', serta-merta pengerusi mesyuarat terpaksa korbankan bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Inggeris. Saya amat yakin Presiden Iran tidak akan sama sekali melakukan sedemikian, walaupun beliau pandai berbahasa Inggeris. Kalau kita sendiri tidak yakin dengan bahasa sendiri, siapa lagi yang mahu kita harapkan untuk mendaulatkan bahasa kita. Bahasa jiwa bangsa.

No comments: