Saturday, February 13, 2010

Guru baru wajib mengajar di pedalaman

BALIK PULAU – Tiga tahun mengajar di sekolah pedalaman adalah antara syarat baru yang akan diwajibkan kepada bakal- bakal guru.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, syarat-syarat itu membabitkan guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) kelolaan kementerian itu serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Bagaimanapun jelasnya, perkara itu masih pada peringkat cadangan tetapi menjadi salah satu strategi kementerian dalam usaha melahirkan barisan guru yang terlatih termasuk dari segi pengajaran dan psikologi.

“Pendedahan ini amat baik dan memberi pengalaman berguna kepada mereka. Cara ini juga dapat memastikan hanya calon yang benar-benar bersedia menyandang jawatan ini.

“Walaupun syarat ini telah diguna pakai tetapi objektifnya seperti yang dihasratkan kementerian kurang berjaya kerana kerap kali ada campur tangan pihak luar untuk guru baru ini bertukar,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau di sini semalam.

Dapat imbuhan jika berjaya lonjakan prestasi sekolah

KUALA TERENGGANU 13 Feb. – Bermula tahun depan, guru besar dan pengetua yang berjaya melonjakkan kecemerlangan sekolah berasaskan akademik, kokurikulum dan sukan akan diberikan ganjaran dan insentif oleh Kementerian Pelajaran.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian prestasi akan mula dilakukan tahun ini dengan setiap pencapaian sekolah akan menjadi kayu pengukur terhadap prestasi guru besar ataupun pengetua.

“Malah bukan sahaja kepada pengetua ataupun guru besar, imbuhan itu juga akan turut dirasai guru-guru di sekolah yang terlibat dan ini akan memberikan galakan kepada golongan tersebut untuk berusaha lebih keras bagi meningkatkan prestasi sekolah masing-masing,” katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri pelajaran, berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kecemerlangan pelajar Yayasan Terengganu kali ke 31 dan program Juara Rakyat peringkat Parlimen Kuala Terengganu di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memperjelaskan bentuk ganjaran atau insentif yang akan diberikan nanti. – Bernama