Saturday, October 31, 2009

Menyanggah Jui Meng


BEKAS Menteri kesihatan, Chua Jui Meng menyatakan bahawa beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana parti itu menolak konsep ketuanan Melayu. Beliau juga menganggap ketuanan Melayu yang dikaitkan dengan UMNO menjadikan kaum-kaum lain sebagai hamba.

Jui Meng menyatakan demikian ketika berucap pada majlis makan malam PKR Sabah, yang kini menghadapi perpecahan ekoran peletakan jawatan Naib Presiden, Jeffrey Kitingan dan Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew.

Dalam Awang cuba mendidik diri untuk berpegang kepada gagasan 1 Malaysia, ia tidak bermakna Awang tidak boleh menyanggah pandangan beliau.

Awang tidak faham mengapa ketuanan Melayu yang tidak lagi dilaung-laungkan oleh orang Melayu kebelakangan ini, mahu dijadikan isu oleh Jui Meng.

Sudah banyak kali diperjelaskan bahawa ketuanan Melayu bukan mahu menjadikan Melayu tuan dan bukan Melayu sebagai hamba. Sebaliknya ketuanan Melayu adalah simbol dan bermaksud kedudukan Sultan-sultan Melayu sebagai tonggak negara yang menjaga kepentingan agama Islam, istiadat Melayu dan bahasa Melayu. Ketuanan Melayu adalah berpaksikan kepada perlembagaan negara.

Awang tidak percaya Jui Meng yang pernah menjadi menteri begitu dangkal dan buta sejarah. Nampaknya beliau yang bersikap rasis dan menjadi oportunis kaum. Apakah itu juga bermakna beliau menolak kedudukan raja-raja dan menyokong usaha ke arah menjadikan Malaysia negara republik?

Selama ini pun, ketuanan Melayu tidak pernah menindas kaum lain apatah lagi menjadikan kaum lain sebagai hamba. Malah rasanya tiada dalam dunia, kaum majoriti atau teras menjadi pelindung terbaik kepada kaum minoriti sejak sebelum merdeka lagi, melainkan kaum Melayu. Sehingga hari ini kaum Cina terus menguasai ekonomi dan kekayaan negara. Kaum itu yang sudah lama mewarisi budaya perniagaan dan mendapat kelebihan daripada strategi penjajah menempatkan mereka di bandar-bandar, mempunyai paling banyak aset dan wang simpanan di bank-bank. Bandar-bandar dan pekan di seluruh negara dikuasai oleh kaum Cina sementara kaum Melayu dan parti Melayu seperti UMNO tidak pernah bertindak merampas kekayaan sebagaimana berlaku di Zimbabwe. Senarai teratas orang terkaya di Malaysia yang sebahagiannya mendapat bisnes monopoli daripada pemimpin Melayu, juga adalah usahawan bukan Melayu. Peniaga kedai Cina di kampung-kampung Melayu misalnya sejak dulu bebas berniaga dengan mendapat sokongan Melayu tanpa diganggu. Itulah kemurahan hati Melayu yang diakui ramai pengkaji budaya antarabangsa sebagai kaum paling baik hati.

Akibat kemurahan hati itulah, yang sebenarnya menjadi tuan di negara ini adalah bukan Melayu. Pelancong, diplomat dan buruh asing pun tahu hakikat itu cuma Jui Meng yang mahu menafikannya. Kalau begitu, apa makna menjadi warganegara?

Asri tolak terajui Yadim


Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, berkata beliau tidak akan menerima jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang ditawarkan kepadanya berikutan kontroversi yang timbul daripada memorandum Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kepada Yang di-Pertuan Agong membantah pelantikan itu.

Pada sidang media di rumahnya di Petaling Jaya, dekat sini, malam tadi, beliau mendakwa, jawatan itu ditawarkan kepadanya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom, pada Ramadan lalu dan sekali lagi ketika dijemput memberi kuliah pada Kursus Orientasi Perdana anjuran Umno di Janda Baik awal bulan lalu.

“Dakwaan yang dibuat terhadap saya dalam memorandum itu adalah satu pembohongan dan fitnah. Ia adalah tuduhan yang sangat besar membabitkan maruah saya dan boleh memecahbelahkan umat Islam.

“Sebenarnya saya langsung tidak terfikir mengenai jawatan itu apabila ditawarkan. Saya belum membuat keputusan dan masih menimbangkannya tetapi dengan apa yang berlaku sekarang saya sudah tidak berminat lagi dengan jawatan itu,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu juga selepas mendapatkan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat lebih baik beliau menjadi suara ketiga daripada memegang jawatan dalam mana-mana agensi kerajaan.

Dalam memorandum berkenaan yang salinannya turut diedarkan Dr Mohd Asri kepada media, persatuan berkenaan mendakwa beliau tidak mengiktiraf iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah, mencerca solat hajat dan menolak hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari.

Memorandum itu turut mendakwa Mohd Asri mencerca ulama besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali.

Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, Mohd Asri turut mencabar PGSM mengemukakan bukti beliau mencerca Imam Ghazali dan Imam Nawawi serta menolak hadis Imam Bukhari melalui ucapan atau tulisannya.

“Saya tidak kisah jika mereka ingin menghantar memorandum kerana itu hak mereka dan saya juga boleh menerima jika mereka mengkritik pandangan saya dan berkata pandangan saya berlainan daripada ulama lain. Tetapi apa yang terkandung dalam memorandum itu satu fitnah dan pembohongan.

“Sebab itu saya rasa perlu memanggil sidang akhbar ini untuk membuat penjelasan,” katanya yang mengakui mengetahui apa disifatkannya sebagai ‘dalang’ di sebalik memorandum itu.

Katanya, beliau belum terfikir untuk menyaman PGSM tetapi mencabar mereka mengemukakan bukti dakwaan dalam memorandum itu dalam masa seminggu.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai parti politik, Mohd Asri berkata, pada masa ini, beliau tidak berminat.

“Saya pernah dipelawa menyertai Umno dan Pas sebelum ini tetapi saya tidak berminat. Buat masa ini saya lebih selesa menjadi suara ketiga tanpa menyertai mana-mana parti politik,” katanya.


BERIKUT ADALAH PETIKAN MEMORUNDUM PGSM

Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Memorandum bagi pihak majoriti umat Islam Malaysia ini dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj supaya menarik balik pelantikan Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Asri) sebagai Yang Di Pertua YADIM.

Alasan Memorandum ini ialah antara lainnya :

1. NGO-NGO Islam arus perdana yang terlibat dengan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) kelolaan YADIM sentiasa bekerjasama di dalam menegakkan dakwah Islamiyah di Malaysia. Hanya beberapa NGO kecil sahaja yang dapat menerima idea bahtera perubahan yang cuba dibawa oleh Dr Asri yang seringkali tidak seiring pandangannya dengan sebahagian besar ulamak dan NGO-NGO Islam arus perdana. Kerajaan sepatutnya menghormati kerjasama MAIM di bawah naungan YADIM yang telah dirasmikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong. Pelantikan Dr. Asri hanya akan memutuskan tali silaturrahim yang terjalin dan MAIM akan pincang sekiranya Dr Asri menerajui YADIM.

2. Dr Asri yang terpengaruh dengan pandangan dan pendekatan ulamak tertentu juga seringkali bertentangan pandangan dengan para ulamak dan Mufti-Mufti negeri lain. Dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat ini, Dr Asri telah mengambil pendekatan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. Semasa menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis beliau kerapkali membelakangkan pandangan Jawatankuasa Mufti peringkat Kebangsaan dan sentiasa lari dari berdialog secara tertutup dan beradab, sebaliknya mencari populariti di media. Keadaan ini akan menyukarkan YADIM dan MAIM untuk bergerak sekiranya tiada hubungan erat dengan Mufti-Mufti.

3. Dr Asri mendakwa dirinya dan pengikut-pengikutnya sebagai ahlu-sunnah tetapi mereka menolak dan tidak mengiktiraf kebanyakan ulamak dan umat Islam lain yang di luar dari lingkungan pengikutnya. Beliau juga tidak mengkitiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadith yang diriwayat oleh Imam Bukhari.

4. Pendekatan Dr Asri dan para pengikutnya telah mencetuskan berbagai perbalahan di kalangan umat Islam apabila mengkritik berbagai amalan umat Islam di Malaysia kononnya ia tidak mengikut sunnah seperti amalan membaca Yaa Sin pada malam Juma’at, amalan bertalqin, tahlil, doa selamat, seolat hajat, wirid selepas solat. Beliau juga mencerca para ulamak besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka. Bahkan akibat dan malapetaka yang bakal timbul dari pendekatannya ini amatlah besar sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa buah negara Islam. Malapetaka ini sewajarnya dibendung dan bukan disemarakkan lagi.

5. Akibat dari pendekatan ekstrem Dr.Asri dan pengikutnya ini kebanyakan Majlis Agama Islam Negeri-negeri telah menyekat kegiatan pengajian yang dijalankan oleh mereka. Malah beberapa guru agama dan penceramah yang sealiran dengan mereka sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah Syariah kerana mengajar tanpa tauliah. Antaranya Dr. Abdullah Yasin yang menghadapi beberapa kes di negeri Selangor.

6. Dr Asri hingga kini mempertikaikan undang-undang jenayah Syariah negara serta mentafsirkannya tidak mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak yang diterima para Ulamak dan masyarakat Islam. Dengan melantik seorang yang berpandangan dan pendekatan seperti ini, ia akan melenyapkan keyakinan dan kepercayaan umat Islam bukan sahaja kepada YADIM malah kepada kerajaan keseluruhannya atas kegagalan memelihara ajaran dan amalan Islam yang dipegang selama ini.

7. Pendekatan ekstrem Dr.Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umat Islam di seluruh Negara khususnya di negeri Perlis. Imam-imam di Perlis yang tidak mendokong aliran Dr Asri telah diketepikan malah baru-baru ini mereka telah ditukarkan atas alasan yang sama (berita-berita sebegini telah tersiar di dalam akhbar-akhbar utama negara). Cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahan dan beberapa kejadian pergaduhan.

8. Sebagai seorang yang terlalu muda serta gagal menghayati budaya adab sopan umat Islam di malaysia, Dr Asri lebih banyak mengundang kontroversi dan merupakan seorang yang keras, elstrem serta tidak dapat menerima teguran, pandangan dan kritikan orang lain. Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-negeri lain selain Perlis, Tokoh-tokoh agama arus perdana termasuk semua para Mufti Negeri-negeri (kecuali Perlis) serta tokoh-tokoh seperti Prof.Datuk Dr.Ismail Ibrahim, Tan Sri Syeikh Ghazali b Abd Rahman bekas Ketua Pengarah JKSM, Dato’ Hashim b.Yahya bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Nooh Gadot dan ramai lagi amat tidak senang dengan pendekatan dan pendirian sebegini.

9. Penolakkan oleh sebahagian besar tokoh agama dan umat Islam terhadap pemikiran dan pendekatan beliau dalam amalan agama adalah kelemahan besar Dr.Asri dan amat tidak sesuai untuk menerajui sebuah agensi dakwah yang ditunjangi oleh Kerajaan Malaysia. Peribadi yang lebih berhemah dan memahami manhaj dan metodologi dakwah di Malaysia adalah lebih wajar menerajui YADIM.Terdapat ramai lagi tokoh lain yang tidak kontroversi yang datang dari golongan Muslim arus perdana yang boleh dilantik menerajui YADIM dan diterima oleh masyarakat Islam arus perdana.

10. Dr Asri bukan sahaja ditolak oleh majoriti penyokong UMNO, malah beliau juga tidak disenangi oleh penyokong PAS yang merupakan 2 parti umat Islam terbesar. Hanya segelintir dari masyarakat Islam yang berpendirian ekstrem dalam hal furu’ atau perkara cabang yang gembira dengan pemikiran dan pendekatan beliau. Kami bimbang Kerajaan Persekutuan akan disisihkan oleh umat Islam dalam kegiatan keagamaan dan amalan keagamaan yang seragam dan telah sebati di seluruh Negara tidak lagi menjadi arus perdana di masa akan datang, manakala Pihak Berkuasa Agama Negeri mengambil pendekatan berbeza dari Kerajaan Persekutuan.

Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Ditandatangani oleh:

Mohamad Isa bin Abd Ralip
Presiden PGSM

Bertarikh 12 Oktober, 2009

Badan-Badan Bukan Kerajaan Yang Menyokong Memorandum ini:

1. Persatuan Pegawai-Pegawai Syariah Malaysia
2. Yayasan Sofa Negeri Sembilan
3. Yayasan Jenderami
4. Pertubuhan Muafakat Masyarakat Sejahtera (MUAFAKAT)
5. Persatuan Peguam Syarie Malysia
6. Persatuan Peguam Muslim Malaysia
7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
8. Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)
9. Jemaah Islah malaysia (JIM)
10. Persatuan Ulamak Malaysia
11. Yayasan Paksi Kedah
12. Persatuan Ulamak Kedah
13. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)

GRED BARU KE IPTA TAHUN DEPAN


Persaingan untuk merebut tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) tahun depan menjadi lebih sengit menerusi pengenalan kaedah pengiraan merit di bawah sistem penggredan baru. Perubahan itu dilakukan bagi memilih hanya kumpulan pelajar terbaik untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata, perubahan itu selaras dengan sistem penggredan baru Kementerian Pelajaran yang memperkenalkan peringkat kelulusan A+ untuk pelajar SPM 2009 berbanding gred 1A sebelum ini.
"Sistem ini diperkenalkan untuk memilih yang terbaik di kalangan terbaik dengan membezakan pencapaian antara A+ dengan A atau A-,'' katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Di bawah sistem baru itu, pencapaian A akan dikategorikan kepada A+, A dan A- dengan merit masing-masing 18, 16 dan 14.

Friday, October 30, 2009

Sekolah satu aliran capai gagasan 1Malaysia


PELAKSANAAN sekolah satu aliran kembali menjadi perbualan hangat. Pelbagai pihak baik kalangan ahli akademik, tokoh sejarah mahupun orang politik mula memandang serius cadangan ini.

Malah ramai juga secara terus-terang mengutarakan sokongan mereka untuk melaksanakan cadangan tersebut dengan segera, baik pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Selama ini negara kita dianggap unik kerana kejituan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum. Ia jarang sekali berlaku di negara luar.

Nenek moyang kita telah bekerja keras dan melakukan pelbagai pengorbanan untuk mencapai keharmonian kaum yang kita nikmati sekarang. Namun apa yang dikhuatiri, semangat perpaduan ini semakin lama semakin terhakis.

Untuk itu kerajaan perlu bertindak segera dan kembali kepada fitrah pembentukan semangat perpaduan seperti yang dilakukan oleh generasi terdahulu yang ternyata membuahkan hasil selama ini.

Anak-anak kita yang bakal mewarisi negara ini perlu dididik dan dibentuk dari sekarang supaya mereka benar-benar dapat menghayati konsep dan erti sebenar perpaduan antara kaum yang terbina sekian lama.

Apakah kita lupa bahawa anak-anak yang dilahirkan umpama sehelai kain putih. Justeru kita percaya ibu bapa dan guru yang rapat dengan mereka saban hari dapat membantu memupuk nilai dan semangat perpaduan yang kita kehendaki.

Hanya sekolah dilihat sebagai tempat terbaik untuk membentuk anak- anak kita. Namun malangnya apa yang berlaku sekarang ialah anak- anak kita jelas terpisah dengan sekolah aliran masing-masing. Melayu di sekolah kebangsaan manakala Cina dan India masing-masing di sekolah jenis kebangsaan.

Kita percaya sekolah satu aliran ini tidak akan menafikan hak kaum masing-masing yang mahu bahasa ibunda mereka dipelajari oleh anak-anak mereka.

Ia juga pastinya tidak sama sekali menghilangkan identiti kaum tersebut. Bahasa ibunda masing-masing boleh terus diajar di sekolah satu aliran sebagai satu mata pelajaran wajib mengikut kaum masing-masing.

Pokok pangkalnya adalah bak kata peribahasa 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Memang ada golongan yang menentang keras cadangan mewujudkan sekolah satu aliran. Mereka mengutarakan pelbagai alasan mengikut perspektif dan logik akal masing-masing yang jelas mempunyai agenda tersendiri, dipengaruhi oleh emosi dan rasa tidak puas hati.

Dalam hal ini kerajaan sewajarnya bertindak dengan lebih bijak dan berhemah dengan mengambil kira pandangan dan pendapat majoriti penduduk negara ini yang rata-rata menyokong cadangan penubuhan sekolah satu aliran. Pedulikan golongan yang sering menjadi pengacau kepada pelbagai program yang hendak dilaksanakan.

Kerajaan perlu melihat secara lebih menyeluruh kepada manfaat yang bakal diperoleh hasil daripada pelaksanaan cadangan ini yang boleh membantu ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang dicita-citakan.

Usah endahkan golongan yang sememangnya sinonim dengan budaya 'tidak setuju'. Mereka tidak pernah menyokong apa sahaja program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan sudah lali dengan budaya menentang dan membangkang.

Jika kita mahu mencapai Wawasan 2020, Misi Nasional dan terkini gagasan 1Malaysia, maka kewujudan sekolah satu aliran adalah jawapan dan jalan penyelesaiannya.

Hanya dengan sekolah satu aliran sahaja kita lihat anak-anak kita yang bakal mewarisi kepimpinan masa depan dapat meneruskan hasrat dan cita-cita yang telah kita bangunkan. Melentur buluh biarlah dari rebung. Anak-anak kita masih belum terlambat untuk dilentur atau dibentuk. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari.

Kaji semula dasar automotif


SAYA merupakan salah seorang pemilik kereta berumur melebihi 15 tahun, yang dilaporkan berjumlah 2.7 juta buah di Malaysia.

Saya amat tertarik dengan berita di akhbar mengenai Dasar Automotif Negara (DAN) yang telah diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini. Walaupun DAN dilaporkan secara ringkas sahaja tetapi hati saya mulai gusar dengan apa yang bakal berlaku selepas ini.

Saya menulis berdasarkan pemahaman saya melalui laporan akhbar kerana saya hanyalah rakyat biasa, seperti kebanyakan rakyat di kampung atau luar bandar yang rata-rata tidak begitu mengerti dengan dasar yang kerajaan akan laksanakan.

Saya bukanlah antara orang yang mampu menukar kereta bagaikan menukar pakaian seperti taukeh besar, pegawai ataupun ahli Yang Berhormat di luar sana.

Sejak akhir-akhir ini, saya lihat pelbagai peraturan telah dikenakan kepada saya serta orang seperti saya untuk meneruskan kehidupan dengan memiliki kereta berusia.

Tidak cukup dengan kenaikan premium insurans pihak ketiga dan keengganan pihak insurans untuk menerima kereta kami, kali ini kami dikejutkan pula dengan DAN yang saya lihat akan banyak menguntungkan ahli korporat automotif sahaja.

Dengan adanya DAN yang kononnya dibuat atas dasar membantu merancakkan industri automotif negara, kami dipaksa secara halus untuk melepaskan kenderaan kami dan membeli kenderaan baru yang didakwa lebih moden serta berteknologi tinggi.

Kami tidak memerlukan kenderaan moden atau canggih untuk ke tempat beribadat atau ke tempat kerja. Cukuplah dengan ketenangan fikiran yang kini bebas daripada hutang pinjaman kenderaan.

Kenderaan yang moden dan canggih tentu sekali datang dengan harga yang kami tidak mampu membelinya secara tunai.

Tetapi jika DAN terus menekan kami, maka terpaksalah kami membelinya secara hutang. Kami ingin bertanya kepada pihak yang berkenaan, adakah dengan berhutang menandakan kita telah maju dan negara akan semakin cepat membangun?

Saya juga amat tertarik dengan menteri berkaitan mengenai kenyataannya untuk menghentikan kemasukan alat ganti kenderaan terpakai ke negara ini serta komitmen beliau untuk memberi insentif kepada mereka yang ingin membangunkan alat ganti automotif di dalam negara.

Saya berpendapat, tindakan tersebut hanya akan menguntungkan sebelah pihak sahaja. Tentu sekali pihak kami iaitu rakyat biasa akan rugi selamanya.

Mungkin ada antara kami mampu untuk membeli kenderaan baru secara hutang tetapi belum tentu kami mampu untuk mendapatkan alat ganti kenderaan dengan harga yang munasabah.

Jika kemasukan alat ganti kenderaan terpakai dihentikan, kami terpaksa mendapatkan alat ganti baru yang bukan semuanya datang dengan harga yang mampu dibeli.

Sebagai contoh, harga gearbox canggih kereta nasional yang dilancarkan dahulu bagaikan mimpi ngeri kepada pemiliknya.

Harganya mencecah belasan ribu dan tidak sepadan dengan harga keretanya yang kini dalam promosi mudah milik oleh pengeluarnya.

Ia bagaikan kata orang tua-tua di kampung, mahal tali daripada lembu. Inilah yang menjadi persoalan kami. Adakah DAN akan memberi jaminan kepada kami untuk mendapatkan harga alat ganti yang murah dan berkualiti?

Justeru, kami amat berharap kerajaan dapat mengkaji semula DAN demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Kami bukanlah menentang pelaksanaan DAN tetapi biarlah DAN dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat, bukannya kepada pihak tertentu sahaja.

Dengarlah rintihan orang seperti kami. Jangan hancurkan kepercayaan kami. Jika rintihan kami diabaikan, maka konsep 1Malaysia yang dicanangkan akan gagal di tengah jalan kerana apa yang kami lihat, keutamaan hanya diberikan kepada pihak tertentu sahaja.