Wednesday, December 9, 2009

Isu bina masjid: Kor Ming dibidas


  • Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menyifatkan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming sebagai biadab apabila mengungkit perbelanjaan kerajaan membina masjid di seluruh negara. Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan Kor Ming dilihat mahu menyalakan api dalam sekam.
  • Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan Nga Kor Ming jangan membangkitkan sentimen permusuhan antara orang Islam dan bukan Islam. Tegas beliau, kenyataan Kor Ming mempersoalkan kerajaan membina banyak masjid di negara ini terang-terang cuba mengapi-apikan sentimen kebencian antara kaum.
  • Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz menganggap Kor Ming dengan sengaja tidak menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan yang hanya menyediakan peruntukan kepada pembangunan agama Islam. Kata beliau, nampaknya sikap ihsan kerajaan selama ini (peruntukan kepada institusi ibadat agama lain) langsung tidak dihargai.
  • (Petikan UM-10 Dis 09)
    Mana komen daripada pemimpin PAS yang selama ini riuh memperjuangkan Islam. Kalau setakat laungan saja tapi tiada tindakan dibuat tak guna apa pun. MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI

    Thursday, December 3, 2009

    Erti sebenar guru cemerlang


    SAYA merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

    Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.

    Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.

    Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.

    Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.

    Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.

    Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?

    Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!

    Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.

    Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.

    Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.

    Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.

    Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?

    Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.

    Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM.

    Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.

    Petikan UM-031209

    Monday, November 23, 2009

    Kecualikan pinjaman perumahan kakitangan sakit - CUEPACS


    Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan akan dapat mengecualikan bayaran pinjaman perumahan bagi penjawat awam yang sakit sewaktu dalam perkhidmatan.

    Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd. Zin berkata, pada masa ini hanya mereka yang membuat pinjaman selepas 1 Ogos 1995 tidak perlu membayar baki pinjaman sekiranya mereka tidak dapat berkhidmat kerana sakit.

    Katanya, petugas yang membuat pinjaman sebelum tarikh berkenaan terpaksa meneruskan bayaran pinjaman kerana polisi insurans mereka hanya meliputi kematian dan kebakaran tetapi bukan hilang upaya kekal.

    "Ini bermakna penjawat awam tidak perlu menjelaskan baki pinjaman sekiranya mereka meninggal dunia atau rumah mereka terbakar tetapi bukan sekiranya mereka hilang upaya untuk bekerja kerana sakit," katanya.

    Atas sebab itu, menurut beliau, kira-kira 50,000 petugas awam dipercayai kini menghadapi keadaan sukar. - Bernama

    Saturday, November 21, 2009

    Kementerian Bela Guru


    Kerajaan sedia mempertahankan Jabatan Pelajaran Negeri Perak serta guru-guru yang dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan saman RM105 juta oleh tiga bapa mangsa tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar pada 26 Oktober lalu.

    Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya sedaya upaya akan membantu guru terbabit kerana yakin mereka mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan ketika program perkhemahan itu diadakan.

    "Kita terpaksa lawan dan saya pertahankan guru-guru dan Jabatan Pelajaran Negeri yang telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya dalam operasi menyelamat yang melibatkan 500 orang semuanya," katanya ketika ditemui di sini semalam.
    Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan bapa tiga murid yang mati lemas dalam tragedi jambatan runtuh di Kuala Dipang memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta.

    Ketiga-tiga mereka, K. Mageswaran, K. Vasudevan dan T. Nathan masing-masing ialah bapa kepada mendiang M. Dava Dharshini, 11, V. Divyashree, 12, serta N. Dina Deve, 11.
    Defendan yang dinamakan dalam saman itu ialah guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, guru besar SJKT Gopeng, Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan dan Pengarah Pelajaran Perak.

    Sunday, November 15, 2009

    Apabila kekuatan sendiri dilupakan


    Apabila isu sekolah satu aliran dibangkitkan, segelintir ultra kiasu mencadangkan supaya bahasa Inggeris dijadikan sebagai pengantar, bukan bahasa Melayu. Ternyata mereka mengenepikan sama sekali dan memandang rendah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bila bahasa itu dipandang rendah, tidakkah pandangan terhadap bangsa bahasa tersebut turut terpalit sama? Kiblat mereka adalah barat, bukan timur.

    Justeru, tidak hairan mereka amat bangga dengan panggilan nama seperti Joe, Michael, Nicol, Amy, Martin dan lain-lain. Kadang kala naik mual mendengarnya. Megah dikaitkan dengan Kristian dan barat, namun tidak mahu langsung dikaitkan dengan Islam dan Melayu.

    Tidakkah timur itu lebih dekat dengan kita berbanding barat? Ada yang sanggup menukar kad pengenalan baru semata-mata taksub dengan nama barat. Kenapa bila tiba nama-nama seperti Muhammad, Mahmud, Aziz, Ridhuan dan nama-nama Islam lain tidak dipandang tinggi, malah dilihat dengan nada penuh kebencian? Hina sangatkah nama Melayu dan Islam? Penggunaan nama-nama Islam dianggap tidak ada standard? Tidakkah nama-nama timur ini lebih berwajah 1Malaysia? Saya tidak mahu untuk membuka tembelang yang lain. Biarlah saya simpan buat sementara waktu ini.

    Bukanlah niat saya untuk menanamkan api kebencian antara kaum. Tetapi saya terpaksa berterus-terang bagi menunjukkan segelintir mereka ini yang tidak pernah bersyukur. Mereka lebih rela diasimilasi dan diakulturasikan dengan barat berbanding Melayu dan Islam. Apa jua perkara yang berkaitan asimilasi dan akulturasi dengan Melayu Islam akan dipandang rendah dan langsung tidak akan diamalkan, manakala cara hidup barat diterima bulat-bulat. Misalnya, cara hidup Melayu seperti berpakaian Melayu, bersongkok dan sebagainya. Pernahkah kita lihat orang bukan Melayu sekurang-kurangnya mengakulturasikan dengan cara sedemikian? Kalau adapun boleh dibilang dengan jari.

    Mengasimilasikan

    Dalam konteks 1Malaysia, adalah lebih wajar kita mengasimilasikan atau mengakulturasikan diri dengan cara hidup Melayu Islam, kerana ia lebih membawa manfaat kepada masa depan negara.

    Sebagai Cina Muslim, bangsa saya memang tidak mahu dikaitkan dengan Melayu langsung terutama dari segi cara hidup. Kalau adanya yang berjinak-jinak dengan Melayu hanyalah untuk dipergunakan dan diperalatkan. Amat sedikit sekali orang Melayu yang bekerja di syarikat-syarikat bukan Melayu. Syarat-syarat seperti keupayaan bahasa Mandarin dijadikan alasan untuk menolak pekerja Melayu. Berbanding dengan syarikat-syarikat Melayu yang mengambil pekerja-pekerja bukan Melayu, atas alasan bukan Melayu lebih rajin daripada Melayu.

    Bahkan, kadangkala bukan Melayu juga dilantik ke jawatan yang lebih tinggi. Siapakah yang lebih sanggup memberi dan menerima sebenarnya dalam hal ini?

    Kalau adapun orang Melayu (termasuk Indonesia) diambil bekerja hanya dipergunakan untuk melariskan jualan makanan dan perkhidmatan. Melayu diperalatkan. Nama-nama berbunyi Melayu akan digunakan untuk melariskan jualan seperti jenama makanan sebagai penanda 'halal'.

    Sedangkan hak-hak asas mereka tidak dipenuhi. Ini jelas apabila terdapat pekerja-pekerja Melayu Islam yang datang mengadu kepada saya kerana dihalang untuk solat Jumaat dan solat fardu. Saya boleh senaraikan satu per satu syarikat tersebut.

    Solat dikatakan membuang masa dan mengurangkan kualiti dan produktiviti. Orang Melayu tetap reda sebab itulah periuk nasi mereka. Sedangkan kita sedia maklum, semakin takut seseorang itu dengan Allah, semakin kuat dia bekerja untuk manusia, sama ada majikannya itu Islam atau tidak. Sifat takutkan Allah akan menjadikan dia berhati-hati melakukan pekerjaan. Saya tidak nafikan ada orang yang kuat solat tetapi malas dan culas.

    Apakah wujud perancangan untuk memisahkan orang Melayu dengan Tuhannya agar mereka menjadi cair? Apabila ikatan mereka dengan Allah telah cair, maka lunturlah semangat jihad mereka, maka mudahkan untuk mensekularkan dan menguasai mereka. Saya tidak maksudkan jihad itu dengan berperang, tetapi cukup sekadar jihad itu menuntut perubahan untuk menjadikan kita lebih baik dan dekat dengan Maha Pencipta.

    Kadangkala saya tidak menyalahkan mereka. Mereka mencari dan mengambil kesempatan. Kita sahaja yang leka dan syok sendiri. Kita tidak menghargai apa yang kita ada. Kita rela korbankan segala yang ada asalkan negara dapat bergerak maju, walaupun yang dikorbankan itu adalah maruah agama dan bangsa. Misalnya kedudukan bahasa dan dasar pendidikan.

    Kenapa kita tidak kaji kekuatan yang ada pada kita sebelum mengkaji kekuatan orang lain? Saya amat pelik, kadang-kadang kita begitu beria-ia mengkaji orang lain sehingga terlupa kepada diri sendiri. Ini menyebabkan kekuatan sendiri terabai disebabkan oleh terlalu taksub terhadap orang lain.

    Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi, pelajar-pelajar diwajibkan belajar dan memahami pelbagai teori yang datang daripada barat (terutamanya) dan timur daripada tokoh-tokoh tertentu.

    Lupa

    Teori-teori ini bukan sahaja disuruh hafal, malahan mereka yang berjaya menerangkan lebih lanjut itulah pelajar yang terbaik dan diberi markah tinggi. Contoh kecil, teori strategi dan peperangan Tsun Tzu.

    Pelajar-pelajar dipaksa menghadam teori ini luar dan dalam, kulit ke kulit, sehingga kadangkala terlupa tanggungjawab terhadap al-Quran dan sunah. Strategi Tsun Tzu tidak hanya diaplikasikan dalam peperangan tetapi juga dalam perniagaan. Paling saya hairan, kita lupa dalam agama kita ada pakar dan pemikiran strategi perang yang cukup hebat seperti Nabi Muhammad SAW, Khalid Ibn Walid, Omar al-Khattab, Salahuddin al-Ayubi dan sebagainya. Tokoh-tokoh amat jarang dibincang dan ketengahkan. Apatah lagi untuk dihafal teori-teorinya. Apakah kurangnya tokoh-tokoh ini berbanding dengan Tsun Tzu, Kautilya (India), Clausewitz, Duhe dan sebagainya? Saya tidak menolak tokoh-tokoh ini, tetapi biarlah diseimbangkan dengan tokoh kita yang tidak kurang hebatnya.

    Ya, Nabi Muhammad SAW pun tidak pernah masuk universiti, tetapi baginda adalah rasul pilihan Allah, makamnya amat tinggi. Oleh itu tidak hairan Michael Hart meletakkan Rasulullah SAW sebagai manusia agung maha hebat daripada 100 orang terhebat dunia meninggalkan Nabi Isa, Nabi Musa, Buddha, Konfucius, Aristotle, Tsun Tzu dan ramai lagi tokoh-tokoh hebat. Malangnya tidak ramai yang mengkaji.

    Hari ini sudah terbalik, barat amat berminat mengkaji peribadi orang timur, tetapi orang timur sibuk mengkaji barat sehingga terabai kehebatan tokoh sendiri. Justeru, saya tidak hairan bila orang bukan Islam tidak mahu diasimilasikan atau diakulturasikan sebab kita tidak hormat tokoh kita, bangsa dan agama sendiri.

    Saya tidak percaya kita boleh bangun dengan acuan orang lain. Sejarah menunjukkan semua bangsa bangkit dengan kekuatan dan acuan sendiri.

    Baru-baru ini saya menghadiri satu mesyuarat penting kementerian. Kebetulan dalam mesyuarat tersebut ada seorang usahawan Amerika boleh berbahasa Melayu secara pelat. Hanya kerana seorang 'mat salih', serta-merta pengerusi mesyuarat terpaksa korbankan bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Inggeris. Saya amat yakin Presiden Iran tidak akan sama sekali melakukan sedemikian, walaupun beliau pandai berbahasa Inggeris. Kalau kita sendiri tidak yakin dengan bahasa sendiri, siapa lagi yang mahu kita harapkan untuk mendaulatkan bahasa kita. Bahasa jiwa bangsa.

    Thursday, November 12, 2009

    PAS RAHSIAKAN BAIAH


    Oleh Zanariah Abd Mutalib
    bhnews@bharian.com.my

    Pengakuan Prof Madya Dr Zaitun Abu Bakar - isteri Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ( gambar )

    Sumpah taat setia atau baiah jatuh talak tiga terhadap isteri wakil rakyat Pas yang mengkhianati parti adalah rahsia dalaman parti itu, kata Prof Madya Dr Zaitun Abu Bakar - isteri Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

    "Saya tak pernah menghadiri majlis itu, kerana ia adalah rahsia dalaman parti. Saya tidak tahu apakah ungkapan yang dibaca, tapi suami saya memberitahu mereka perlu mengangkat tangan dan melafazkan baiah itu," katanya.

    Pensyarah sebuah universiti swasta di sini itu, berkata sepanjang pengetahuannya, Khalid mengangkat baiah sebanyak lima kali dengan kali pertama ketika bertanding atas tiket Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Krai pada 1986.

    "Bagaimanapun, baiah talak tiga suami saya itu dilakukan buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu. Saya tak tahu sama ada wakil rakyat lain pun buat perkara sama," katanya.

    Zaitun yang dihubungi Berita Harian, semalam, berkata beliau tidak takut dengan tindakan suaminya melafazkan baiah talak tiga itu kerana percaya Khalid tidak akan mengkhianati parti.

    "Saya tidak takut... dia bukannya nak tukar parti... dia serius dan mengambil berat mengenai hal itu.

    "Sebab itu dia mempertaruhkan sesuatu yang berharga... itu adalah antara dia dan Allah," katanya ketika ditanya sama ada beliau sedar mengenai kesan baiah itu yang mengakibatkan talak tiga jatuh dengan sendirinya ke atasnya jika Khalid melompat parti.

    Kelmarin, Khalid mempertahankan kenyataannya sebelum ini berhubung kewujudan amalan baiah talak tiga dalam Pas, yang dinafikan pucuk pimpinan parti itu.

    Ditanya sama ada isteri wakil rakyat Pas lain pernah menghadiri majlis baiah itu, Zaitun berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan sesama mereka.

    Beliau juga berkata, baiah talak tiga diperkenalkan bagi menghalang wakil rakyat melompat parti kerana ada percubaan 'membeli' Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas di Kelantan selepas Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004 yang ketika itu hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di negeri itu.

    Petika BH 12.11.2009

    Tuesday, November 10, 2009

    RAMAI GURU TIDAK FAHAM DASAR


    Ketidakpuasan guru Gred DG 41 mengenai gaji guru Gred 32 telah berlarutan bertahun-tahun di akhbar, termasuk akhbar Utusan Malaysia. Kebanyakan para guru Gred DG 41 sebenarnya tidak tahu mengenai dasar kenaikan pangkat dan juga skim kenaikan pangkat anggota perkhidmatan awam Malaysia.


    Untuk makluman guru Gred 41, semua skim kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam adalah sama, tidak kira di jabatan mana berkhidmat. Cuma kelebihan diberikan kepada guru untuk dinaikkan pangkat selepas 10 tahun berkhidmat selepas melepasi beberapa syarat yang telah ditetapkan dalam gred yang sama, berbanding kakitangan perkhidmatan awam yang lain 15 tahun.


    Untuk makluman, Gred 32 dan Gred 38 adalah gred kenaikan pangkat bagi Gred 29 (berkelulusan diploma) sementara gred kenaikan pangkat bagi Gred 41 (berkelulusan ijazah) adalah Gred 44,48,52,54 dan seterusnya JUSA.


    Para guru Gred 41, apabila tiba masanya 10 tahun berkhidmat dalam gred yang sama, akan juga dinaikkan pangkat ke Gred 44 selepas melepasi beberapa syarat yang telah ditetapkan. Sudah semestinya gaji permulaan Gred 44 lebih tinggi daripada gaji permulaan Gred 32.


    Jangan bandingkan gred kenaikan pangkat iaitu Gred 32 dengan guru yang baru masuk kerja di Gred 41 atau guru Gred 41 yang belum dinaikkan pangkat atau tidak cukup servis dalam gred yang sama, sungguh pun guru baru itu bergred lebih tinggi. Semua pegawai di jabatan lain faham mengenai dasar tersebut kecuali kebanyakan para guru tidak faham.


    Sepatutnya sebagai kakitangan awam, para guru wajib tahu tentang skim perkhidmatan awam dan begitu juga skim perkhidmatan mereka. Sudah semestinya gred lebih tinggi akan mendapat gaji lebih tinggi daripada gred bawahannya. Mana mungkin gred lebih tinggi itu mendapat gaji lebih rendah daripada pegawai gred lebih rendah.


    Isu yang timbul sebenarnya guru gred lebih rendah telah dinaikkan pangkat. Sudah semestinya guru gred lebih rendah yang telah dinaikkan pangkat, lebih tinggi gajinya daripada guru gred lebih tinggi yang baru berkhidmat.


    Perlu diingat gaji maksimum guru Gred 41 yang belum dinaikkan pangkat jauh lebih tinggi daripada gaji maksimum guru Gred 32 atau pun Gred 38.


    Oleh itu saya mengesyorkan supaya para guru diberi kursus khas atau taklimat khas mengenai skim-skim mereka dan juga skim kenaikan pangkat dan gred-gred dalam perkhidmatan awam sebelum diserapkan menjadi guru. Pada saya sebagai kakitangan awam para guru mesti tahu mengenai skim tersebut dan tidak perlu menghebohkannya di akhbar. Kementerian Pelajaran adalah jabatan yang bertanggungjawab untuk memberi penjelasan tersebut kepada staf mereka, terutamanya para guru sebelum para guru itu menjadi guru sebenar di sekolah.


    Saya berasa sangat hairan kerana isu ini sering didedahkan di akhbar sejak beberapa tahun lalu tetapi tiada tindakan oleh pihak yang berkenaan, terutamanya Kementerian Pelajaran atau pun Institut Perguruan itu sendiri.


    Cara yang paling baik dan berkesan untuk menerangkan mengenai skim ini kepada para guru adalah para Guru Besar atau Pengetua.

    (Petikan UM)

    Sunday, November 8, 2009

    Fantasi mewujudkan sekolah satu sistem


    oleh : Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
    Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional, Malaysia.

    Isu satu sekolah, satu sistem pendidikan bukanlah satu perkara baru. Ia telah dibahaskan sejak dahulu lagi. Keadaan masih sama dan tidak banyak berubah. Jawapannya, mudah sahaja, pendidikan telah dipolitikkan.

    Jika bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan tidak dapat dimartabatkan bagaimanakah kita boleh pergi lebih jauh daripada itu? Kita mempunyai peruntukan dalam perlembagaan, tetapi ia tidak digunakan atau dikuatkuasakan.

    Kita sibuk melayani tuntutan dan desakan politik segelintir kumpulan ultra kiasu. Akhirnya, bahasa dan sistem pendidikan tidak dapat diperkasakan di bumi sendiri. Bila ada ura-ura untuk mewujudkan satu sistem pendidikan, maka golongan ultra kiasu ini akan bangun menentang. Pada mereka, peninggalan nenek moyang mesti dipertahankan bermati-matian.

    Mereka akan melakukan apa jua cara termasuk mendesak dan mengugut jika kerajaan meneruskan niatnya. Akhirnya, kerajaan terpaksa tunduk. Sistem satu sekolah senyap buat seketika.

    Kini suara itu muncul kembali, tetapi dengan nada berlainan. Satu sekolah untuk sekolah aliran menengah. Sememangnya aliran menengah telah lama disatukan. Tidak banyak lagi sekolah vernakular untuk aliran menengah, berbanding aliran rendah.

    Boleh dikatakan kebanyakan bukan Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah kebangsaan disebabkan oleh tempat yang terhad di sekolah menengah Cina. Justeru, tidak timbul isu sebenar, satu sistem pendidikan untuk sekolah menengah.

    Perkara pokok yang perlu dibahaskan secara serius ialah bagaimanakah hendak mewujudkan satu sistem pendidikan yang dapat menyatukan anak-anak di peringkat sekolah rendah?

    Akibat

    Kajian demi kajian dan pengalaman menunjukkan bahawa akibat mereka dipisahkan dari kecil amat sukar untuk disatukan ketika mereka meningkat remaja berada di sekolah menengah.

    Sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sekolah yang majoriti pelajar bukan Melayu, saya dapat merasakan hubungan kaum berada pada tahap amat membimbangkan. Pelajar-pelajar ini tidak bercampur setelah enam tahun dipisahkan di sekolah rendah.

    Dengan sebab itu, polarisasi kaum terbawa-bawa hingga ke peringkat menengah dan pengajian tinggi. Sampai bilakah kita akan terus membincangkan isu ini? Selagi kita tunduk kepada tuntutan dan ugutan mereka, sampai kucing bertanduk pun kebuntuan ini tidak akan dapat dipecahkan.

    Sedih yang teramat sangat, apabila kita hanya memikir kepentingan masa kini berbanding dengan kepentingan masa hadapan. Kepentingan politik diutamakan, kepentingan membina negara diabaikan. Mungkin kita tidak berapa merasai sangat kesannya hari ini, tetapi sanggupkah kita tinggalkan semuanya ini kepada anak cucu cicit kita?

    Berkali-kali saya katakan, akibat sistem pendidikan perkauman sebegini menjadikan hubungan kaum di negara ini ibarat api yang tidak dapat dipadamkan sepenuhnya.

    Kita berjaya memadamkan api tersebut, tetapi bara api itu masih menyala. Bara inilah yang amat membahayakan untuk jangka panjang.

    Dalam dunia hanya negara kita sahaja yang menerima pakai pelbagai sistem aliran sekolah. Negara lain hanya ada satu sekolah. Sebenarnya Malaysia adalah 'syurga' kepada orang bukan Melayu. Mereka dapat apa yang sepatutnya mereka tidak berhak. Perkara yang menguntungkan ini biasanya disenyapkan, malah golongan ini terus mendesak agar sekolah vernakular terus ditambah.

    Persoalannya, adakah kita bersungguh-sungguh dalam soal ini? Berkali-kali saya membangkitkan bahawa kepentingan nasional atau negara mesti diletakkan di hadapan berbanding kepentingan etnik.

    Agenda nasional adalah untuk memperkasakan masa hadapan, manakala agenda etnik, lebih bersifat kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja. Kerajaan mesti membuat keputusan yang tegas dan tidak boleh tunduk atau bertolak ansur dalam memperkasakan masa hadapan.

    belajar

    Saya bukan bermaksud kita menghapuskan hak bukan Melayu untuk belajar bahasa ibunda mereka. Mereka masih boleh belajar bahasa ibunda mereka, tetapi pelajar-pelajar ini tidak boleh dipisah-pisahkan sejak dari kecil.

    Cukuplah dengan sistem politik dan ekonomi yang bersifat perkauman. Jangan kita tambahkan lagi dengan sistem pendidikan yang menjadi tunggak kepada pembangunan negara bangsa.

    Benar, kita perlu berbincang. Tetapi pernahkah mereka bersetuju? Jawabnya tidak pernah. Malah mereka semakin mendesak dan menuntut. Justeru, apa tunggu lagi? Apakah kita perlu menunggu peristiwa 13 Mei berulang untuk kita mengkaji semula sistem pendidikan kita? Ketika itu sudah terlambat.

    Berapa lama masa diambil untuk bangun semula selepas itu? Pendek kata, kesan 13 Mei masih lagi kita dapat rasai hingga hari ini bagaimana sukarnya untuk bangun setelah jatuh.

    Alasan yang mengatakan bahawa sekolah kebangsaan terlalu keMelayuan dan keIslaman (doa pagi) bukanlah hujah yang kuat untuk menolak sekolah satu sistem. Apakah lagi identiti yang boleh ditonjolkan dalam sebuah negara yang berakarkan sebuah bangsa?

    Kalau ini pun dicabut, apakah lagi identiti yang tinggal kepada Melayu dan Islam? Tidakkah kita sedar kedudukan ini dijamin dalam Perlembagaan?

    Apakah kita masih belum faham perkara asas itu setelah sekian lama hidup di bumi bertuah ini?

    Saturday, November 7, 2009

    KEGANASAN PENYOKONG BOLA SEPAK


    Kebelakangan ini isu penyokong bola sepak bersikap ganas sering dipaparkan di dada akhbar. Kebenaran isu jelas dapat ditonton dalam Perlawanan Akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan. Penyokong Kelantan membaling mercun dan membakar kerusi stadium menggambarkan budaya samseng dan tak bertamadun. Mereka tidak dapat menerima kekalahan pasukan mereka dan kehebatan pasukan lawan.
    Wahai penyokong Kelantan, bermuhasabahlah dengan diri sendiri. Kawal perasaan dan emosi anda supaya tidak mencemarkan gelaran 'Serambi Mekah'. Pasukan anda kalah kerana pasukan lawan lebih hebat dan teratur strategi permainannya berbanding dengan pasukan anda. Terimalah kenyataan dan berusaha lagi tahun depan. Insyaallah anda akan berjaya jua.

    Friday, November 6, 2009

    Guru tuntut imbuhan


    Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk guru mata pelajaran Bahasa Malaysia pula dituntut oleh golongan guru semasa sesi dialog sempena majlis Perhimpunan Warga Pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

    Cadangan itu dibuat dengan alasan bahawa dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuhkan bahasa Inggeris (MBMMBI), peranan penting guru mata pelajaran bahasa Malaysia tidak boleh dipinggirkan apatah lagi mereka mengajar bahasa yang merupakan bahasa rasmi negara ini.

    Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ketika ditanya berhubung perkara tersebut berjanji untuk menimbang dan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut.

    Namun kata beliau, pada masa ini kerajaan telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk bagi membayar BISP kepada guru-guru yang lain.

    Pada masa ini guru-guru yang menerima BISP ialah guru mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

    ``Kita juga perlu memikirkan kewajarannya dan nanti ada pula guru-guru mata pelajaran lain yang turut menuntut perkara yang sama,’’ katanya.

    Sesi dialog bersama Ketua Pengarah Pelajaran tersebut merupakan lanjutan daripada sesi penerangan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dihadiri lebih 1,000 warga pendidik dari seluruh negara.

    Sesi dialog yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu turut mendengar pelbagai masalah lain termasuk masalah kekurangan guru mata pelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah luar bandar.

    Seorang guru besar dari Selangor mempersoalkan tentang tempoh perpindahan yang singkat guru bahasa Inggeris dari kawasan bandar ke luar bandar.

    ``Guru bahasa Inggeris dari bandar ini cantik, ada kereta besar, suami pangkat besar tetapi tidak lama di sekolah luar bandar kerana telah minta ditukarkan ke sekolah bandar,’’ katanya.

    Justeru beliau mencadangkan agar pihak kementerian mengambil guru dari kawasan luar bandar untuk mengajar mata pelajaran tersebut kerana hanya guru-guru sedemikian yang boleh memahami dan menerima keadaan persekitaran itu.

    ``Hanya orang luar bandar sahaja yang boleh membantu pelajar luar bandar,’’ katanya.

    Pada sesi dialog tersebut pelbagai cadangan turut dikemukakan oleh golongan guru termasuk mengenai tempoh mengajar yang lebih lama untuk mata pelajaran bahasa Inggeris dan tempoh mengajar yang singkat untuk mata pelajaran lain.

    Turut ditanya ialah mengenai kegagalan pelajar bukan Melayu untuk menguasai bahasa Malaysia dan penggunaan sama ada bahasa Malaysia atau bahasa Melayu untuk mata pelajaran tersebut.

    Selain itu turut dipersoalkan ialah kewajaran memberi BISP secara wang tunai kepada guru-guru terbabit sebaliknya mencadangkan agar pemberian baucar buku kepada mereka.

    Dalam pada itu Alimuddin berkata, semua pandangan dan cadangan yang dilontarkan oleh golongan pendidik akan diberi pertimbangan yang serius.

    Berhubung pelbagai isu yang berbangkit mengenai perkara baru yang diperkenalkan selepas pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) beliau berkata, kementerian mempunyai tempoh dua tahun lagi yang membolehkan pelbagai cadangan dikaji untuk manfaat warga pendidikan semua




    Wednesday, November 4, 2009

    Bapa mengamuk di sekolah selepas anak kena tindakan

    KUCHING: Seorang bapa yang tidak puas hati kerana anaknya dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak sekolah di sini telah mengamuk dan memecahkan tingkap kelas hari ini.



    Dalam kejadian 11 pagi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Chung Hua No 3 di Jalan Padungan di sini, lelaki yang dipercayai mabuk itu bertindak memecahkan tingkap tiga buah kelas dengan tanggannya. Justify Full



    Seorang pelajar Tahun Tiga yang duduk berdekatan dengan tingkap berkenaan cedera di bahagian muka dan belakang telinga kerana terkena serpihan kaca cermin.


    Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Fauzi Bujang, yang mengesahkan kejadian itu berkata suspek berusia 38 tahun itu bertindak demikian setelah dimaklumkan anaknya dikenakan tindakan disiplin.



    "Mangsa digegaskan ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan dan kini dilaporkan stabil," katanya.



    Fauzi berkata, polis yang bergegas ke tempat kejadian sebaik saja menerima laporan daripada pihak sekolah menahan lelaki berkenaan.

    Beliau berkata, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut. - Bernama

    Monday, November 2, 2009

    Cemerlang melalui sukan


    Cadangan Kementerian Pelajaran mewa jibkan subjek sukan dan pendidikan jasmani dalam ku rikulum sekolah menengah seperti di Australia boleh men capai kejayaan jika sistem pelaksanaannya berkesan

    PENDIDIKAN jasmani adalah subjek yang pastinya di tunggu-tunggu pelajar setiap minggu termasuk penulis ketika pada zaman persekolahan. Subjek pendidikan jasmani bukan sekadar untuk bersukan tetapi menghilangkan tekanan se lepas seharian belajar.
    Bagaimanapun, subjek pendidikan jasmani itu hanya di pandang remeh dan tiada perhatian khusus kerana ia bu kanlah salah satu subjek dalam kokurikulum.

    Malah, sesetengah pelajar juga tidak mengendahkan aktiviti sukan atau pendidikan jasmani dan hanya menumpukan perhatian kepada pelajaran semata-mata.

    Namun, Kementerian Pelajaran melihat kepentingan subjek itu dalam merealisasikan kecemerlangan pelajar di sekolah.

    Dalam pendidikan menengah di Australia, setiap pelajar diwajibkan mengambil subjek sukan dan pendidikan jasmani yang diterapkan dalam kurikulum sekolah.

    Usul itu kini sedang diteliti untuk diperkenalkan di semua sekolah di negara ini kerana ia didapati berjaya dilaksanakan di sekolah di Australia meskipun maksimum enam subjek dihadkan untuk pelajar menengahnya bagi memasuki uni versiti.

    Perkongsian kos prasarana sukan dengan universiti ber dekatan mungkin dilakukan. Pelajar yang berminat me ngambil pendidikan jasmani, boleh berbuat demikian sebagai satu mata pelajaran.

    Jika diteliti, langkah untuk melaksanakan perkara itu amat bagus. Tetapi adakah ia sesuai dilaksanakan di negara ini?

    Adakah kita cukup yakin konsep yang dilaksanakan di sekolah menengah di Australia itu akan mencapai kejayaan apabila diperkenalkan di negara ini kerana budaya dan latar belakang pendidikan berbeza?

    Yang dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan, berkata cadangan Kementerian Pelajaran itu boleh mencapai kejayaan tetapi sistemnya perlu diperting katkan.

    Beliau berkata, pendidikan jasmani adalah mata pelajaran yang wajib di sekolah sejak dulu lagi. Bagaimanapun, ia tidak diberi perhatian sepenuhnya.

    “Justeru, jika sukan dan pendidikan jasmani ini wajib diterapkan dalam kokurikulum sekolah menengah, ia satu usaha yang baik.

    “Selain itu, langkah itu pasti berhasil jika sistem yang diguna pakai dalam subjek pendidikan jasmani di sekolah ditambah baik,” katanya.

    Azam berkata, Kementerian Pelajaran perlu melihat semua aspek terutama tenaga pengajar yang mahir.

    “Jika dilihat senario di kebanyakan sekolah, guru yang mengendalikan pendidikan jasmani tidak mempunyai latar belakang dalam bidang itu.

    “Bayangkan jika guru agama, Matematik atau Bahasa Me layu terpaksa mengambil alih tugas itu, tentu hasilnya mengecewakan,” katanya.

    Beliau berharap apabila subjek itu diwajibkan kelak, jangan berlaku seperti sesetengah mata pelajaran wajib yang tidak mempunyai tenaga pengajar berkelayakan.

    Katanya, mengenai cadangan kementerian mahu mengguna pakai sistem pendidikan jasmani yang dilaksanakan di se kolah menengah di Australia dan berkongsi kos prasarana sukan dengan universiti berdekatan, ia sepatutnya dilakukan sejak dahulu lagi.

    “Tidak semua sekolah di negara ini mempunyai peralatan sukan yang lengkap. Jadi, dengan berkongsi prasarana itu dengan universiti, aktiviti sukan dan pendidikan jasmani ini boleh berjalan dengan baik.

    “Perkongsian itu dapat menjimatkan perbelanjaan sekolah,” katanya.

    Katanya, jika pelajar berminat mengambil pendidikan jas mani, dia boleh berbuat demikian sebagai satu subjek pe lajaran seperti yang dicadangkan.

    Bagaimanapun, ia mungkin menghadapi sedikit masalah di sekolah di negara ini.

    “Sistem pendidikan di Australia hanya mengehadkan enam subjek sahaja untuk memasuki universiti tetapi kita me merlukan maksimum 10 subjek.

    “Namun, saya berharap kementerian akan melaksanakan program itu di negara ini jika kajian membuktikan ia membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar dan se kolah,” katanya.

    Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Se menanjung Malaysia (GPSM), Mohd Nordin Awang, berkata langkah itu wajar dilaksanakan kerana sukan penting bagi melahirkan pelajar cemerlang.

    Katanya, walaupun kokurikulum itu penting, tapi kita tidak mahu kualiti pelajar kita hanya dikategorikan sebagai pandai tetapi tidak cerdik.

    “Kebanyakan pelajar kita lebih menumpukan kepada ko kurikulum semata-mata dan tidak mengendahkan sukan atau pendidikan jasmani.

    “Kokurikulum memang penting tetapi aktiviti sukan juga memberi manfaat terutama dari aspek kesihatan dan ke cemerlangan,” katanya.

    Senario pendidikan di negara ini mendapati kebanyakan pelajar yang dikategorikan pandai, gagal dalam sukan atau tidak mengambil berat aspek itu.

    “Keadaan ini perlu dielakkan kerana dengan mengikuti aktiviti sukan atau berpersatuan, banyak ilmu yang mereka boleh peroleh.

    “Pendidikan jasmani atau sukan bukan hanya bermain bola sepak tetapi skopnya luas,” katanya.

    Nordin berkata, mungkin pelajar tidak sedar dengan me ngikuti aktiviti sukan dan berpersatuan, mereka boleh belajar banyak kemahiran terutama dalam komunikasi.

    “Selain itu, banyak aspek sains sukan yang boleh memberi manfaat kerana di peringkat antarabangsa, ia bidang yang menjadi tumpuan masyarakat.

    “Kerjaya dalam sukan juga menjamin masa depan kerana banyak majikan berminat mengambil mereka yang mem punyai latar belakang dalam bidang itu,” katanya